Pelabur Thailand & Jepun Intai Peluang Pelaburan Petrokimia RM1 Bilion Di Sarawak
KUCHING: Dua kumpulan pelabur yang berpangkalan di Thailand dan Jepun menyatakan kesediaan melabur sehingga RM1 bilion dalam pengeluaran produk petrokimia, didorong kelebihan negeri dari segi tenaga rendah karbon serta sumber minyak dan gas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, minat pelabur berkenaan dikenal pasti menerusi pertemuan beliau dengan dua kumpulan pelabur itu ketika mengadakan lawatan ke Bangkok, Thailand, bulan lalu.
“Pelabur-pelabur ini mengenali kekuatan Sarawak dari segi tenaga rendah karbon dan sumber minyak dan gas negeri ini dan mereka amat berminat untuk melabur sehingga RM1 bilion untuk menghasilkan produk-produk petrokimia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Majlis Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, di Padang Merdeka di sini, pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mendedahkan bahawa pengasas SoftBank, Masayoshi Son, bersama wakil syarikat gergasi teknologi dunia itu, mengadakan perbincangan di Sarawak sebelum sekaligus mencerminkan perhatian pelabur antarabangsa terhadap potensi ekonomi negeri ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa manfaat daripada kemasukan pelaburan perlu turut dirasai syarikat tempatan, khususnya dalam sektor kejuruteraan, penyelenggaraan, logistik, teknologi pembuatan dan perkhidmatan profesional.
Menurutnya, hubungan yang lebih kukuh antara pelabur dengan syarikat tempatan penting bagi memastikan aktiviti pelaburan menjana limpahan ekonomi dalam negeri, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Pelaburan yang mengalir masuk ke Sarawak mesti dapat dihubungkan dengan syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan, logistik, teknologi pembuatan, dan perkhidmatan profesional untuk menjana ekonomi tempatan,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS