Premier Sarawak Sambut Baik Tambahan RM1.1 Bilion Peruntukan Persekutuan
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menyambut baik peningkatan sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak kepada RM16.2 bilion bagi 2027, bertambah RM1.1 bilion berbanding RM15.1 bilion pada 2026.
Beliau memberitahu, perkembangan itu mencerminkan hubungan kerja antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan yang terus diperkukuh menerusi rundingan berterusan.
“Kelmarin Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim telah menaikkan sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak yang bernilai RM16.2 bilion. Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Majlis Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, di Padang Merdeka di sini, pada Sabtu.
Mengulas mengenai Pemberian Khas Interim pula, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dato Seri Anwar susulan pengumuman yang dibuat pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 pada 16 September lalu.
“Pada hari itu, Perdana Menteri telah mengumumkan peningkatan Pemberian Khas Interim kepada Sarawak daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion
bagi tahun ini,” ujarnya.
Katanya lagi, kerjasama berkenaan akan diteruskan berasaskan persefahaman dan semangat setia kawan, selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). -EDISI UKAS

Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ibanez Jeffery Guang & Jaed Tepus