Jasa TYT Sarawak Pertahan Keamanan Negeri Tidak Dilupakan - Premier Sarawak
KUCHING: Jasa Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam mempertahankan keamanan Sarawak ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan di Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah pengorbanan beliau kepada negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kesediaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi mempertaruhkan nyawa ketika menentang ancaman komunis merupakan pengorbanan besar demi memastikan Sarawak bebas daripada ancaman berkenaan.
“Jasa Tuan Yang Terutama Tun dalam mempertahankan keamanan Sarawak ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan di Kawasan Keselamatan Rajang atau RASCOM, merupakan sebahagian daripada sejarah pengorbanan yang tidak harus dilupakan.
“Saya pasti jasa dan kesediaan untuk mempertaruh nyawa ketika menentang anasir-anasir komunis akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah pengorbanan Tun demi Sarawak yang bebas daripada ancaman komunis,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Majlis Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, di Padang Merdeka di sini, pada Sabtu.
Menurutnya lagi, perjalanan kerjaya Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi daripada anggota pasukan keselamatan kepada peguam, ahli politik, anggota kabinet Persekutuan dan Yang di-Pertua Dewan Negara sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak mencerminkan pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam.
“Pengalaman Tun Pehin Sri Dr Wan Junadi dalam bidang keselamatan, perundangan, perlembagaan dan pentadbiran negara pasti telah memberikan satu perspektif yang luas dalam memahami perjalanan mentadbir negeri dan negara,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS