Telaga Adong Kechil West Hasilkan RM96 Juta Setahun
KUCHING: Pengeluaran minyak sebanyak 800 tong sehari dari telaga Adong Kechil West di Marudi berpotensi menjana hasil bernilai RM96 juta setahun, berdasarkan harga minyak semasa, sekali gus memperlihatkan potensi industri perlombongan minyak daratan di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengeluaran dari satu telaga itu dianggarkan bernilai RM8 juta sebulan, menunjukkan potensi sumber minyak daratan untuk menyumbang kepada ekonomi negeri.
“Pengeluaran minyak di Adong Kechil West di Marudi ialah 800 tong sehari bersamaan RM8 juta sebulan berdasarkan harga sekarang, iaitu bersamaan RM96 juta setahun, iaitu daripada satu telaga sahaja,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Majlis Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, di Padang Merdeka di sini, pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mendedahkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS)turut merancang membangunkan satu lagi telaga pada pertengahan tahun hadapan bagi membekalkan gas kepada stesen janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) di Miri.
“Selain itu, Petros juga akan menggerudi satu lagi telaga explorasi di Kuala Baram yang mempunyai potensi menggalakkan untuk pengeluaran gas,” dedahnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, PETROS sedang membangunkan saluran paip gas sepanjang 65 kilometer dari Kidurong ke Zon Perindustrian Samalaju dekat Bintulu.
Projek berkenaan dijadualkan siap pada penghujung tahun ini, sekali gus membolehkan kawasan perindustrian Samalaju menerima bekalan gas bagi menyokong keperluan industrinya. -EDISI UKAS