Kepelbagaian Budaya Terus Diperkukuh, Perpaduan Masyarakat Dipelihara
PADAWAN: Kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Sarawak perlu terus diperkukuh melalui penglibatan masyarakat pelbagai kaum sekaligus menjadi simbol kekuatan negeri ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, perbezaan budaya bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan masyarakat menerusi sikap saling menghormati, kerjasama dan pemeliharaan warisan masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kuih Bulan 2026 di Kampung Pangkalan Ampat, Padawan, pada Jumaat, yang julung kali dianjurkan sebagai platform memelihara tradisi masyarakat Cina serta mempererat hubungan antara kaum.
Menurutnya lagi, masyarakat Cina di Kampung Pangkalan Ampat merupakan sebahagian daripada komuniti yang telah lama menyumbang kepada pembangunan setempat, termasuk dalam bidang pendidikan dan pemeliharaan budaya.
Penganjuran pesta itu mencerminkan bagaimana warisan sesuatu kaum boleh menjadi ruang pertemuan masyarakat berbilang latar belakang, sekali gus menyemai rasa kebersamaan dan memperkukuh identiti Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian, ujar beliau lagi.
Sehubungan itu, Datuk Dr Jerip berharap semangat perpaduan sedemikian terus diterjemahkan melalui kerjasama masyarakat dalam menjayakan agenda pembangunan setempat, termasuk meneroka peluang ekonomi dan pelancongan yang dapat memberikan manfaat kepada penduduk. -EDISI UKAS