SRI AMAN: Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) mencerminkan komitmen Sarawak dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang agama menerusi sokongan terhadap keperluan komuniti agama bukan Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, kepelbagaian agama bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan yang membentuk masyarakat Sarawak yang harmoni dan saling menghormati.
Menurut beliau, nilai toleransi, kerjasama dan amalan murni yang diterapkan melalui ajaran agama masing-masing perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian masyarakat kekal utuh.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Amal anjuran Persatuan Penganut Agama Buddha Dewa JiGong Huo Fo, di sini pada Jumaat.
Datuk Mong turut menyifatkan penganjuran majlis berkenaan sebagai wadah bukan sahaja untuk mengumpul dana, malah mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk persefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha persatuan, beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM13,000 bagi membantu persatuan meneruskan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan. -EDISI UKAS