MIRI: Golongan belia di bandar raya Miri digesa supaya lebih aktif menyertai kelab dan persatuan bagi membina keyakinan diri, mengasah bakat kepimpinan serta memperluas jaringan sosial, sekali gus memainkan peranan lebih bermakna dalam pembangunan masyarakat.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, golongan belia merupakan tonggak masa depan bandar raya itu dan perlu mengambil peluang untuk melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.
“Belia tidak seharusnya bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu mengambil inisiatif menubuhkan kelab belia sendiri atau menyertai persatuan sedia ada bagi mengembangkan potensi diri dan menyumbang kepada pembangunan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Intervensi Belia Tidak Berpersatuan 2026: Ceramah Demokrasi Belia dan Pendidikan Belia Miri di Dewan Serbaguna, Bangunan Persatuan Klan Lin Bahagian Miri, di sini, pada Sabtu.
Adam menambah, penglibatan dalam persatuan memberi peluang kepada golongan belia membina keyakinan diri, memupuk kemahiran kepimpinan, menjalin persahabatan baharu serta memperoleh pengalaman menerusi pelbagai aktiviti dan program sukarelawan.
Menurutnya, belia yang berminat menyertai persatuan tetapi tidak mengetahui cara untuk memulakan langkah boleh mendapatkan bantuan, bimbingan dan sokongan daripada Kelab Belia Bestari Bandar Miri.
Program anjuran Miri Intelligent Youth Club (MIYC) dan Kelab Belia Bestari Bandar Miri itu turut merangkumi ceramah mengenai Parlimen Belia Malaysia dan demokrasi belia, penerangan mengenai inisiatif Pendidikan Percuma Sarawak serta sesi pengenalan kepada pihak berkuasa tempatan.
Peserta turut diberi pendedahan mengenai persatuan belia dan peluang sukarelawan bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran tentang ruang penglibatan mereka dalam masyarakat. -EDISI UKAS