ADUN Piasau Santuni Penjaja Di Tamu Dato Haji Ahmad Lai
MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mengadakan lawatan ke Tamu Dato Haji Ahmad Lai di Kampung Luak bagi menyantuni penjaja tempatan serta mendengar masalah yang dihadapi mereka.
Lawatan pada Khamis itu bertujuan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada penjaja mengenai keadaan kemudahan di pusat penjaja berkenaan, selain bertukar pandangan bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah masalah air hujan yang meresap masuk melalui bahagian sisi pusat penjaja ketika hujan, tiang yang mengalami masalah karat serta keperluan memasang kunci pada meja penjaja bagi memudahkan penyimpanan barang dan meningkatkan keselamatan selepas waktu perniagaan.
Susulan aduan tersebut, Datuk Sebastian meminta Ahli Majlis Bandaraya Miri, Kaunselor Leslie Lau, membantu membuat tindakan susulan dan mengemukakan perkara berkenaan kepada pihak berkaitan untuk penyelesaian sewajarnya.
Dalam lawatan itu, beliau turut membeli beberapa jenis buah-buahan bermusim sebagai tanda sokongan kepada perniagaan penjaja tempatan.
Menurutnya, Tamu Dato Haji Ahmad Lai menyediakan pelbagai barangan keperluan harian termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan bagi memudahkan penduduk sekitar mendapatkan bekalan harian.
Sehubungan itu, Datuk Sebastian menggalakkan penjaja memanfaatkan ruang perniagaan yang disediakan dengan sebaiknya, manakala penduduk setempat diseru supaya terus menyokong perniagaan mereka dengan berkunjung dan membeli barangan keperluan di pusat penjaja berkenaan.
Ujarnya, kerjasama antara penjaja dengan masyarakat setempat penting untuk memastikan pusat penjaja terus aktif dan berdaya maju, sekali gus membantu merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan Kampung Luak. -EDISI UKAS