Nur Syakura Johan Qariah MTHQA Antarabangsa Ke-66, Tamat Penantian 19 Tahun
KUCHING: Qariah kelahiran Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa mengharumkan nama Malaysia apabila muncul johan qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 Tahun 2026M/1448H.
Kejayaan Nur Syakura, yang bertugas sebagai Penyelia Guru Al-Quran di Pusat Al-Quran Darul Hana-Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) itu menamatkan penantian hampir 19 tahun untuk menyaksikan qariah dari Sarawak kembali mewakili Malaysia di pentas tilawah al-Quran antarabangsa, selepas Allahyarhamah Amnah Ayup menjuarai kategori qariah pada 2007.
MTHQA ke-66 berlangsung dari 6 hingga 10 Oktober 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan penyertaan 50 peserta dari 38 negara bagi kategori tilawah dan hafazan al-Quran.
Bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”, pertandingan itu menghimpunkan 25 peserta bagi setiap kategori yang berjaya melepasi sesi kelayakan pada Julai lalu, melibatkan 166 peserta dari 130 negara.
Selain Nur Syakura dalam kategori tilawah, Malaysia turut diwakili Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali bagi kategori sama, manakala Muhammad Izzul Afnan Sazali dan Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam bertanding dalam kategori hafazan.-EDISI UKAS
Kredit: Facebook Rasmi Jabatan Agama Islam Sarawak