Golongan Muda Perlu Kuasai Ilmu, Kemahiran Hadapi Cabaran Masa Depan
KUCHING: Golongan muda perlu menguasai ilmu pengetahuan, disiplin dan kemahiran sebagai persediaan menghadapi perkembangan teknologi serta cabaran kehidupan yang semakin kompleks.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, anak muda perlu memanfaatkan peluang menuntut ilmu dan membina kemahiran sebagai asas untuk mencapai kejayaan pada masa depan.
“Tujuan hidup ini adalah satu ujian dan medan untuk beribadah dengan membawa kebaikan kepada diri serta persekitaran.
“Dalam menghadapi cabaran teknologi dan kehidupan yang semakin mencabar, penting bagi anak-anak muda untuk fokus, bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan menguasai kemahiran supaya terus berjaya di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama peserta Program Motivasi “Sedia Menghadapi Masa Depan” di Dewan Taman Sukma, di sini pada Sabtu.
Program yang disertai 100 pelajar itu bertujuan meningkatkan keyakinan diri serta memberikan pendedahan mengenai peluang pendidikan, prospek kerjaya dan pembangunan kemahiran.
Pengisian program turut merangkumi sesi motivasi “Kembali Kefitrah Asas Perjuangan”, bengkel kumpulan dan aktiviti interaktif bertemakan “Legasi & Warisan Insani” yang memberi penekanan kepada pembentukan jati diri, nilai kehidupan serta kesedaran terhadap potensi diri.
Selain itu, sesi “Ikatan Pengorbanan dan Kejayaan – Warkah Untukmu” bersama ibu bapa atau penjaga diadakan bagi mengukuhkan sokongan keluarga terhadap perkembangan diri peserta.
Sesi dialog bersama Datuk Amar Fadillah turut memberi peluang kepada peserta berinteraksi secara langsung, di samping mendapatkan pandangan dan nasihat berkaitan persediaan menghadapi masa depan.
Program anjuran Biro Pendidikan, Exco Pemuda dan Exco Belia PBB Cawangan Samariang dengan kerjasama Pusat Khidmat Petra Jaya dan Pusat Khidmat Samariang itu dikendalikan oleh MGS Training & Consultancy.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.-EDISI UKAS