BP United, Bung Tama Rebut Kejuaraan Piala Perpaduan YBDSRRJ 2026
SERIAN: BP United dari Kampung Bidak Plaman dan Bung Tama dari Kampung Mawang Tahup mencuri tumpuan apabila kedua-dua pasukan berentap di pentas akhir Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Piala Perpaduan YBDSRRJ 2026 di Padang Bola Sepak Kampung Temong Mawang, di sini pada Sabtu.
Perlawanan akhir itu menjadi kemuncak kejohanan yang menghimpunkan pasukan-pasukan setempat, sekali gus menyediakan platform kepada golongan belia untuk mengembangkan minat dalam sukan bola sepak serta mengeratkan hubungan antara komuniti kampung.
Majlis penangguhan kejohanan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama Belia Kampung Temong Mawang itu disempurnakan Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem.
Kejohanan berkenaan bertujuan menyemai semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti sukan.
Di samping itu, penganjuran kejohanan sedemikian juga memberi ruang kepada belia untuk terlibat secara aktif dalam kegiatan sihat, selain memperkukuh jaringan persahabatan antara penduduk dari kampung berbeza.
Difahmkan, program diteruskan pada sebelah malam menerusi Malam Mesra Bersama Pemimpin di Dewan Kampung Temong Mawang, yang turut menampilkan persembahan hiburan daripada kumpulan Acid Rain.
Penganjuran program berkenaan diharap dapat diteruskan sebagai wadah mengukuhkan perpaduan masyarakat serta menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti sukan dan kemasyarakatan di kawasan Serian. -EDISI UKAS