IACPP Lancar Siri Bengkel Komuniti Grow Pickleball Miri 7 November Ini
MIRI: Akademi Antarabangsa Profesional Pickleball Bertauliah (IACPP) bakal melancarkan Siri Bengkel Komuniti Grow Pickleball Miri pada 7 November ini bagi memperluas penyertaan masyarakat serta membangunkan ekosistem sukan itu di Malaysia.
Bengkel sulung yang akan berlangsung di Pika!ball Sentral, Taman Tunku itu menghimpunkan anggota komuniti, pelajar, jurulatih dan pengendali gelanggang bagi memperkukuh pembangunan sukan berkenaan di peringkat akar umbi.
Pengasas IACPP, Farrell Choo berkata, lebih 80 peserta telah menamatkan program Kejurulatihan Tahap 1 IACPP setakat ini, sekali gus menyediakan kumpulan jurulatih terlatih untuk mengendalikan sesi bersama komuniti.
“Program Tahap 1 kami telah melatih lebih 80 jurulatih setakat ini. Siri bengkel ini menghubungkan jurulatih tersebut dengan komuniti, pelajar dan pengendali gelanggang supaya sukan ini berkembang sebagai satu ekosistem,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Farrell berkata, pickleball berpotensi memberikan manfaat sosial dan ekonomi kerana mudah dipelajari serta boleh disertai individu daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Selain menggalakkan gaya hidup aktif, peningkatan penyertaan dalam sukan itu juga berpotensi merangsang permintaan terhadap khidmat kejurulatihan, tempahan gelanggang, peralatan sukan dan penganjuran acara, sekali gus membuka peluang pendapatan kepada jurulatih, pengendali gelanggang serta perniagaan tempatan.
“Apabila penyertaan meningkat, peluang untuk jurulatih, pengendali gelanggang dan perniagaan tempatan turut berkembang. Itulah impak sosioekonomi yang ingin kami tonjolkan melalui Miri,” ujarnya.
Menerusi program itu, anggota komuniti dan pelajar akan mendapat pendedahan kepada permainan pickleball, manakala jurulatih bertauliah berpeluang menimba pengalaman praktikal serta mengembangkan peluang kerjaya dalam bidang kejurulatihan.
Pada masa sama, pengendali gelanggang berpeluang menjangkau pemain baharu, sementara persatuan dan kerajaan dapat menyokong pembangunan sukan itu melalui program akar umbi yang tersusun dan berasaskan piawaian.
Program yang mendapat sokongan dan pengiktirafan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta persatuan-persatuan pickleball Sarawak itu diharap dapat diperluas ke bahagian lain di Sarawak dan negeri-negeri lain.
Pendaftaran bagi bengkel komuniti percuma itu dibuka sehingga 31 Oktober ini menerusi laman web www.iacpp.com/free-workshop. -EDISI UKAS