RM178,000 Peruntukan MRP, RTP Tingkat Kemudahan & Pembangunan Komuniti Pelasok
LUBOK ANTU: Sejumlah RM178,000 diperuntukkan menerusi Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi meningkatkan kemudahan asas serta menyokong pembangunan komuniti di Pelasok, Skrang.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi mengumumkan peruntukan itu ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Bengkel Memperkasakan Peranan dan Tugas Ketua Kaum serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Lubok Antu di Rumah Thomas Jepit, Pelasok, Skrang.
Daripada jumlah tersebut, RM150,000 diperuntukkan menerusi RTP kepada JKKK Pelasok bagi kerja membaik pulih sistem paip air, manakala geran MRP sebanyak RM20,000 disalurkan kepada JKKK Pelasok dan RM8,000 kepada Gerempung Indu Pelasok.
Peruntukan berkenaan dijangka meningkatkan keselesaan penduduk, khususnya dari segi bekalan air, selain memperkukuh pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di kawasan terbabit.
Dalam ucapannya, Roy menegaskan bahawa Ketua Kaum dan JKKK memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dengan kerajaan bagi memastikan setiap keperluan dan permasalahan penduduk mendapat perhatian sewajarnya.
Menurut beliau, keberkesanan pembangunan di peringkat rumah panjang bergantung kepada kepimpinan akar umbi yang berpengetahuan, berintegriti dan proaktif dalam menyelaras keperluan komuniti.
Sehubungan itu, beliau berharap segala ilmu dan panduan yang diperoleh sepanjang bengkel dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas harian, khususnya dalam memperkukuh tadbir urus serta pengurusan JKKK.
Beliau turut menggalakkan Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lubok Antu memperluas inisiatif pembangunan kapasiti kepimpinan melalui penganjuran lebih banyak bengkel dan program perkongsian ilmu.
Roy turut menyentuh kepentingan pendidikan tinggi, bantuan kepada pekebun kecil serta inisiatif pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, termasuk pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di universiti milik Kerajaan Sarawak.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Anak Ekau menekankan kepentingan Ketua Kaum dan JKKK mempunyai hala tuju yang jelas serta mengutamakan penyelesaian masalah di peringkat komuniti sebelum merujuk perkara berkenaan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Beliau turut mengingatkan bahawa proses pelantikan Tuai Rumah perlu mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan bagi memastikan ketelusan serta kelancaran pentadbiran masyarakat.
Antara pengisian program ialah taklimat mengenai peranan, tugas dan tanggungjawab Ketua Kaum serta JKKK yang disampaikan oleh wakil Pejabat Daerah Kecil Engkilili, Edwin Mat.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri II, Mikai Mandau, wakil Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Inspektor Harper Kenol, Pengerusi Persatuan KMKK Daerah Lubok Antu, Pemanca Grang Juben serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum daerah berkenaan.-EDISI UKAS