Kesihatan Rakyat Asas Pembangunan Sarawak Menjelang 2030
KUCHING: Kesihatan dan kesejahteraan rakyat perlu menjadi antara asas utama pembangunan Sarawak menjelang 2030, dengan masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental mampu menyumbang secara lebih produktif kepada pembangunan negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur moden dan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira tahap kesihatan serta kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, rakyat yang sihat dan aktif merupakan aset penting dalam membina keluarga, tempat kerja dan komuniti yang lebih sejahtera, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak menjadi negeri maju dan makmur menjelang 2030.
“Rakyat yang sihat merupakan rakyat yang produktif. Apabila kita semua aktif dari segi fizikal dan sihat dari segi mental, kita akan lebih bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Senaman Cergas 1 Kenyalang 2026 yang berlangsung bersempena dengan DBKU Car Free Day dan What About Kuching (WAK) Festival 2026, di sini pada Ahad.
Datuk Dr Abdul Rahman berkata, program seumpama itu memainkan peranan penting dalam membudayakan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian masyarakat, tanpa mengira usia atau tahap kecergasan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penyertaan dalam aktiviti kecergasan tidak memerlukan seseorang menjadi atlet profesional, sebaliknya bermula dengan kesediaan untuk bergerak dan mengambil langkah ke arah kehidupan yang lebih sihat.
Pada masa sama, beliau turut menjemput orang ramai menyertai edisi khas Car Free Morning sempena Sarawak Urban Forum 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad terakhir bulan ini di Padang Merdeka.
Katanya, program berkenaan merupakan acara tahunan DBKU yang turut membuka ruang penyertaan kepada pengunjung dari luar Kuching, luar Sarawak dan luar negara. -EDISI UKAS