Ajdin Mengganas Dengan Hatrik Ketika The Cats Benam Kelantan City 4-1
KUCHING: Kuching City FC (KCFC) mempamerkan ketajaman jentera serangan apabila membenam Kelantan City FC 4-1, dengan penyerang berbisa Ajdin Mujagic mencuri tumpuan menerusi hatrik dalam aksi timbal balik Piala FA di Stadium Taha Ariffin, pada Sabtu.
The Cats, kendalian Aidil Sharin Sahak, membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Yuki Tanigawa yang menyudahkan hantaran sepakan sudut, Muhammad Nazmi Faiz untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.
Gol awal itu menyuntik momentum buat Kuching City yang terus mengasak benteng pertahanan lawan, sebelum Joao Pedro memainkan peranan penting menerusi hantaran ke tengah yang disempurnakan Mujagic pada minit ke-18 bagi menggandakan kelebihan kepada 2-0.
Jaringan pembukaan itu menyuntik keyakinan The Cats untuk terus menggandakan tekanan, namun Kelantan City berjaya merapatkan jurang pada minit ke-44 apabila Muhammad Hadin Azman melepaskan rembatan jarak jauh yang menghukum kelalaian benteng pertahanan tuan rumah.
Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama, dengan KCFC membawa kelebihan tipis ke bilik persalinan.
Bersambung selepas rehat, The Cats tidak memberikan ruang kepada Kelantan City untuk membina momentum kebangkitan, sebaliknya terus mengatur gerakan berbahaya bagi memperkukuh kedudukan.
Usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-67 apabila gerakan menarik kapten Petrus Shitembi bersama Ramadan membuka ruang buat Mujagic untuk meledak gol keduanya, sekali gus melebarkan jurang jaringan kepada 3-1.
Mujagic kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-80 apabila menyudahkan hantaran Ramadan dengan tenang, menjadikan kedudukan 4-1 dan meletakkan Kuching City dalam kedudukan selesa.
Hatrik itu turut menjadi pencapaian istimewa buat penyerang berkenaan sebagai hatrik pertamanya bersama KCFC.
Mujagic hampir melengkapkan malam gemilangnya dengan jaringan keempat peribadi pada minit ke-90 selepas menerima hantaran Wenzel yang meletakkannya dalam posisi terbaik untuk melakukan penyudah mudah.
Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran oleh Mujagic dalam gerakan berkenaan.
Keputusan 4-1 kekal memihak kepada Kuching City, yang menampilkan persembahan menyerang berkesan selain keupayaan bangkit mengawal semula permainan selepas dibolosi pada penghujung babak pertama. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi