Aidil Puji Kedalaman Skuad The Cats Selepas Benam Kelantan City 4-1
KUCHING: Kemenangan 4-1 Kuching City FC (KCFC) ke atas Kelantan City FC membuktikan kedalaman skuad The Cats mampu menjadi aset penting dalam mengharungi jadual perlawanan padat, terutama menjelang aksi separuh akhir.
Ketua jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak berkata, pemain yang jarang mendapat minit permainan turut membuktikan kemampuan mereka apabila diberikan kepercayaan untuk beraksi, sekali gus mewujudkan persaingan sihat bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Kita memerlukan kedalaman skuad dan perlu mempercayai pemain yang ada. Apabila diberikan kepercayaan, mereka akan membalasnya dengan persembahan yang baik,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Taha Ariffin, di sini pada Sabtu.
Menurut Aidil, The Cats memulakan perlawanan mengikut perancangan dengan memberikan tekanan tinggi serta memburu gol awal, sebelum berjaya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, beliau mengakui pasukannya sedikit hilang tumpuan menjelang rehat sehingga membenarkan Kelantan City merapatkan kedudukan menerusi jaringan jarak jauh Muhammad Hadin Azman pada minit ke-44.
“Kita berbincang pada waktu rehat bahawa kita tidak sepatutnya membenarkan percubaan percuma dari kawasan sendiri. Saya fikir pemain memberikan respons yang sangat baik pada separuh masa kedua,” katanya.
Kuching City kemudian memperkemaskan permainan selepas rehat sebelum Ajdin Mujagic meledak dua gol tambahan untuk melengkapkan hatrik, sekali gus memastikan kemenangan 4-1 menjadi milik tuan rumah.
Aidil turut menjelaskan perubahan taktikal sekitar minit ke-65 dengan memasukkan Petrus Shitembi dan Ramadan bertujuan menyegarkan pasukan, selain memberikan kedua-dua pemain minit permainan supaya bersedia menghadapi perlawanan seterusnya.
Kedua-duanya kemudian memainkan peranan penting dalam gerakan serangan The Cats, termasuk membantu Mujagic menjaringkan gol pada minit ke-67 sebelum penyerang itu melengkapkan hatrik pada minit ke-80.
Mengulas jaringan yang dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), Aidil berkata, beliau menghormati keputusan pengadil kerana perkara sedemikian merupakan sebahagian daripada bola sepak.
“Bagi kami, perkara paling penting ialah kemenangan dan bukan sekadar menang dengan kelebihan kecil. Kami membuktikan malam ini bahawa kami layak berada di separuh akhir,” katanya lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi