Batik Linut Perluas Pasaran Warisan Melanau Menerusi Hab Kreatif Di Miri
MIRI: Batik Linut, inovasi tekstil berasaskan kanji sagu yang mengangkat warisan masyarakat Melanau, kini memperkukuh langkah pengkomersialan menerusi pembukaan galeri utama di MyyMall, Lutong, bagi memperluas pasaran produk kreatif Sarawak serta membuka peluang keusahawanan kepada masyarakat.
Pengasas Batik Linut, Diana Rose berkata, pembukaan Batik Linut Gallery di tingkat dua pusat beli-belah itu menandakan peralihan kepada fasa pengembangan perniagaan, dengan tumpuan terhadap pemasaran, pengeluaran dan pengedaran produk secara lebih meluas.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual semasa program Chill and Chat @ Batik Linut Miri (Hi Tea), di sini, pada Ahad.
Menurut Diana, galeri berkenaan bukan sekadar ruang jualan, malah dirancang menjadi hab bengkel Batik Linut bagi wilayah utara Sarawak untuk memperluas penguasaan kemahiran serta menggalakkan lebih ramai masyarakat meneroka industri kreatif berasaskan warisan tempatan.
Katanya, usaha memperkenalkan produk itu sejak dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr)Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pada 24 November 2021, turut dilaksanakan menerusi penganjuran acara dan bengkel di beberapa lokasi.
Sehingga kini, hampir 200 peserta dijangka telah atau akan mengikuti latihan asas penghasilan Batik Linut menerusi siri bengkel di Miri, Mukah, Dalat dan Kuching.
Usaha memperluas latihan itu penting bagi membina kumpulan pengusaha berkemahiran yang mampu menyokong perkembangan industri berkenaan, selain memberi peluang kepada golongan muda menceburi bidang keusahawanan, pemasaran digital dan pengedaran produk.
Dalam aspek pasaran, produk Batik Linut telah dipamerkan di Singapura dan Brunei, manakala pemasaran digital serta pengembangan rangkaian pengedaran menjadi antara pendekatan untuk meningkatkan capaian kepada pelanggan di dalam dan luar negara.
Diana berkata, peningkatan persaingan dalam pasaran turut mendorong pihaknya memperkukuh kualiti produk, kapasiti pengeluaran dan strategi pemasaran bagi memastikan Batik Linut berkembang sebagai perusahaan kreatif yang berdaya saing. -EDISI UKAS