Majlis Jamuan Negeri Serikan Sambutan Ulang Tahun Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-80
KUCHING: Majlis Jamuan Negeri Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berlangsung meriah di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, pada Sabtu.
Majlis turut dihadiri isteri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan anakanda, Dayang Norjihan.
Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Majlis Seni Sarawak (MSS) sebelum diteruskan dengan bacaan doa oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Antara pengisian utama majlis ialah tayangan video khas bertajuk “Empat Dasawarsa Memahat Bakti”, diikuti upacara memotong kek sempena sambutan hari lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video khas “Kembara D’Astana” serta persembahan hiburan oleh barisan penyanyi tempatan antaranya Karen Libau, Chien Ng, Firdaus Materang, Mal Imran dan penampilan artis popular Daus Eli dan Haziq Rosebi.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Sri Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri-Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, dif-dif kenamaan serta ketua-ketua jabatan yang hadir.
Majlis Jamuan Negeri itu merupakan antara acara utama yang diadakan bersempena sambutan perayaan Hari Lahir ke-80 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi tahun 2026.
Selain itu pada malam yang sama rakyat Sarawak turut dihiburkan dengan Konsert Rakyat sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir TYT Sarawak Ke-80 menampilkan artis-artis tempatan seperti Raquel Then, Yadee, Dayana Shini, Ramles Walter, Carry Geres, Harry Parren diiringi Band Agura serta penampilan khas, Floor 88, Aina Abdul dan Dato Amy Search.
Persembahan bunga api menjadi kemuncak acara tersebut pada malam nanti. - EDISI UKAS