Konsert Layar Cycling Tarik Kira-Kira 1,000 Pengunjung
BETONG: Kira-kira 1,000 pengunjung memeriahkan Konsert Layar Cycling sempena Layar Cycling Carnival Edisi Ke-8 2026 di Pentas Utama, Arena Futsal RTC Betong, pada malam Sabtu.
Konsert itu menampilkan persembahan artis tempatan termasuk Ricky Anderson, Richard Lee, Fred Alpha, Athirah dan Alvin John yang menghiburkan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.
Kemeriahan turut diserikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan tiga hadiah utama iaitu televisyen LED Toshiba, peti sejuk Dekka berkapasiti 190 liter dan mesin basuh Dekka berkapasiti 7.5 kilogram.
Selain persembahan muzik, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai juadah menerusi gerai jualan peniaga tempatan di sekitar RTC Layar, sekali gus memberi ruang kepada usahawan setempat mempromosikan produk dan menjana pendapatan.
Layar Cycling Carnival bukan sahaja menampilkan perlumbaan berbasikal, malah menggabungkan elemen hiburan, makanan dan aktiviti komuniti bagi menarik pengunjung serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Konsert berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Layar Cycling Carnival 2026 Jason Ng Boon Tuan serta Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong TPr Moris Nyaup.- EDISI UKAS