Aksi Kriterium Warnai Hari Kedua Layar Cycling Carnival
BETONG: Aksi sengit perlumbaan Kriterium mewarnai hari kedua Layar Cycling Carnival 2026 apabila pelumba daripada pelbagai kategori berentap menguji ketahanan dan kepantasan masing-masing di RTC Layar, di sini, pada Sabtu.
Pelumba TSG Cycling Academy, Mohammad Afi Danial, yang muncul juara kategori Men Open (19–29 tahun), menyifatkan perlumbaan itu sebagai cabaran tersendiri berikutan cuaca panas serta laluan yang mencabar.
Beliau berkata, Layar Cycling Carnival yang memasuki edisi kelapan terus memberikan cabaran kepada pelumba dari segi keadaan laluan dan persaingan sengit untuk memberikan prestasi terbaik.
Menurutnya, penyertaan dalam perlumbaan Kriterium itu turut menjadi penanda aras bagi menilai kemampuan dirinya dalam sukan berbasikal.
Mohammad Afi Danial menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 42 minit 20 saat, diikuti rakan sepasukannya, Zulfamie Aiman di tempat kedua dengan 45 minit 15 saat.
Akmal Thaqif dari Solidarity Cycling Club melengkapkan kelompok tiga terbaik dengan catatan 45 minit 26 saat.
Perlumbaan kategori Men Open dan Sarawak Closed menyaksikan 16 pelumba bersaing dalam 10 pusingan membabitkan jarak keseluruhan 29 kilometer, dengan setiap pusingan sejauh 2.9 kilometer.
Bagi kategori Sarawak Closed, Laurel Lauridsen Adrian dari Ghost Speed Racing Team muncul juara dengan catatan 42 minit 42 saat, diikuti Mohammad Faisal Izuddin dari Solidarity Cycling Club di tempat kedua dengan 45 minit 31 saat dan Aizat Othman dari GRBCC di tempat ketiga dengan 45 minit 33 saat.
Selain itu, perlumbaan sebelah pagi turut mempertandingkan kategori Super Master, Master A, Master B, Betong Closed, Women Open, Junior dan Youth.
Zulkifli Ramli dari GRBCC menjuarai kategori Super Master, Wai Soon Yim (Master A), Mohd Nor Umardi Rosdi dari Tugau Vaei (Master B dan Mohd Arif Raafiif dari Solidarity Cycling Club (Betong Closed).
Bagi kategori Women Open, Nurfara Ain Nabiela dari Tugau Vaei muncul juara, manakala Syed Ahmad dari TSG Cycling Academy menjuarai kategori Junior dan Muhammad Hussein dari Panther/ICF Kota Pontianak bagi kategori Youth.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Layar Cycling Carnival Jason Ng Boon Tuan.
Turut hadir, Setiausaha SABERKAS Cawangan Layar, James Agat dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPr Moris Nayup.
Kemeriahan karnival diteruskan pada sebelah malam dengan persembahan konsert menampilkan artis tempatan serta cabutan bertuah untuk para pengunjung.- EDISI UKAS