RM96,000 Disalurkan Kepada 23 JKKK, Biro Wanita Hulu Rajang
KAPIT: Sebanyak RM96,000 diperuntukkan kepada 23 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita di kawasan Hulu Rajang menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR) 2026 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan keperluan pembangunan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, peruntukan tersebut disalurkan bagi membantu memperkasa aktiviti kemasyarakatan serta meningkatkan kemudahan yang diperlukan penduduk di kawasan masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penyerahan cek peruntukan berkenaan serta merasmikan projek bernilai RM200,000 di Rumah Inguh Miut, Sungai Paku, Mujong, di sini, pada Sabtu.
Projek yang dirasmikan melibatkan pembinaan jalan simen, kerja-kerja baik pulih rumah Biro Wanita serta pemasangan tingkap gelangsar bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk setempat.
Pelaksanaan projek dan penyaluran peruntukan berkenaan mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan keperluan asas serta pembangunan komuniti di kawasan pedalaman terus diberi perhatian.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Kapit, Rolyn Terrance Janting, isteri Ahli Parlimen Hulu Rajang Datin Leytha Kupa serta Ketua Masyarakat Kawasan Gaat Penghulu Anyi Kumbong.- EDISI UKAS