Hari Kesihatan Komuniti Batu Kitang Bakal Diperluas Ke Beberapa Lokasi
KUCHING: Program Hari Kesihatan Komuniti Batu Kitang 2026 bakal diperluas ke beberapa lokasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang bagi memudahkan penduduk mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang berkata, program yang julung kali diadakan bersama komuniti setempat itu merupakan langkah awal untuk membawa perkhidmatan pemeriksaan kesihatan lebih dekat kepada penduduk.
Menurut beliau, program seumpama itu dirancang untuk dilaksanakan secara berperingkat pada hujung minggu di beberapa lokasi yang bersesuaian bagi memudahkan penduduk untuk hadir.
“Antara lokasi yang dikenal pasti termasuk Kampung Haji Baki, Batu 3, Jalan Arang, Batu Kawa, Greenwood Park, Saradise dan Batu 5½ serta kawasan lain yang bersesuaian,” katanya ketika menghadiri program tersebut di Dewan Komuniti Kampung Haji Baki, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Ir Lo memberitahu, program berkenaan menawarkan pelbagai perkhidmatan pemeriksaan kesihatan termasuk pemeriksaan tekanan darah, ujian darah, pemeriksaan mata, pemeriksaan komposisi badan bagi mengenal pasti tahap lemak badan dan lemak viseral serta pemeriksaan pergigian asas.
Ujarnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala penting bagi membolehkan risiko penyakit dikenal pasti lebih awal sebelum keadaan menjadi serius dan memerlukan kos rawatan yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk mengambil peluang menyertai program berkenaan apabila dianjurkan di kawasan masing-masing bagi mengetahui tahap kesihatan serta mendapatkan nasihat daripada petugas kesihatan. -EDISI UKAS