Program SYStartup Lahir Ramai Usahawan Baru, Buka Peluang Pekerjaan
SIBU: Program Sarawak Youth Startup Kohort Ketiga berupaya melahirkan lebih ramai belia sebagai pencipta peluang pekerjaan dan bukannya sekadar pencari kerja di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada pendedahan selok-belok keusahawanan daripada awal hingga pengembangan perniagaan.
"Harapan utama kita adalah agar program ini dapat melahirkan ramai usahawan berpendapatan tinggi sekali gus meningkatkan sosioekonomi masyarakat, terutamanya pendapatan isi rumah dan taraf hidup masyarakat setempat sama ada di peringkat daerah, bahagian dan seluruh Sarawak.
"Kita melihat peningkatan penglibatan belia dalam sektor keusahawanan di mana mereka menjadi job creator dan majikan sendiri yang turut memberi peluang pekerjaan kepada belia lain," katanya.
Menurut beliau, latihan tersebut merangkumi proses mendapatkan lesen perniagaan, perancangan, modal, peningkatan kemahiran, pemasaran digital serta pemerkasaan technopreneur iaitu usahawan yang mengadaptasi teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan kapasiti perniagaan.
Datuk Dr Ripin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir memberitahu, penganjuran kohort ketiga di Sibu membabitkan Zon Tengah yang merangkumi Bahagian Mukah, Kapit, Sarikei, Sibu dan kawasan sekitarnya.
Jelasnya, program anjuran kementerian itu sebelum ini telah diadakan di Kuching bagi Kohort Pertama pada Disember 2024 dan Kohort Kedua di Miri pada November 2025.
Tambah beliau, pelaksanaan program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada lebih 45 kementerian dan agensi peringkat Negeri Sarawak serta Persekutuan sebagai rakan strategik.
Sementara itu, kira-kira 140 peserta menyertai program komprehensif dan intensif yang berlangsung selama lapan hari itu.
Hadir sama Ketua Bahagian Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan Sarawak Seroji Ludin, Timbalan Pengerusi baharu Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Dato' Roseley mewakili Pengerusi MPS, Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad dan yang lain.-EDISI UKAS