Lebih 300 Peserta Sertai Family Fun Run, Semai Semangat Keprihatinan, Inklusiviti Dalam Komuniti
MIRI: Lebih 300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai program 2026 Family Fun Run: Stroll with 2 Care bagi menyemai semangat keprihatinan, inklusiviti dan perpaduan dalam membentuk komuniti yang lebih penyayang serta harmoni.
Program anjuran Persatuan Informasi Ibu Bapa Miri (PIIBM) yang berlangsung di Universiti Curtin Malaysia pada Sabtu itu turut mendapat penyertaan golongan berkeperluan khas, sekali gus mencerminkan kepentingan menyediakan peluang sama rata kepada semua anggota masyarakat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata program bertemakan ‘Care, Inclusion & Unity’ itu membawa mesej penting bahawa setiap individu tanpa mengira keupayaan, usia atau latar belakang berhak mendapat tempat dalam komuniti.
Menurut beliau, keprihatinan bukan sekadar memahami keperluan orang lain, malah diterjemahkan melalui tindakan membantu, manakala inklusiviti menuntut masyarakat menghormati perbezaan dan memastikan tiada individu dipinggirkan.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Kr. Dato’ Victor Lau Sie Nguong pada program berkenaan.
Dato Sri Lee turut menegaskan bahawa kemajuan sesebuah masyarakat bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal seperti jalan raya, pengangkutan dan infrastruktur, sebaliknya turut merangkumi keupayaan mewujudkan persekitaran selamat, mudah diakses dan mesra semua golongan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penyertaan keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas, golongan cacat penglihatan serta kurang pendengaran sebagai bukti bahawa aktiviti kemasyarakatan mampu menjadi platform penyatuan tanpa mengira perbezaan keupayaan.
Turut hadir, Kr. Kelvin Chia mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi PIIBM Thomas Ngu Kuo Sing serta Pemangku Pengarah Kanan Pentadbiran Universiti Curtin Malaysia Viziaty Drahman yang mewakili Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif universiti Profesor Vincent Lee Chieng Chen.-EDISI UKAS