Merbau Open Karate Tournament 2026 Cungkil Bakat Atlet Muda Sarawak
MIRI: Kejohanan Merbau Open Karate Tournament 2026 menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta melahirkan lebih ramai atlet karate berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata penganjuran kejohanan seumpama itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada atlet muda dalam suasana pertandingan sebenar, malah membantu membentuk disiplin, keyakinan diri, ketahanan mental dan semangat kesukanan.
Menurut beliau, kejohanan berkenaan turut membuka peluang mengenal pasti atlet berbakat untuk mewakili kelab dan daerah masing-masing ke pertandingan peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Kaunselor Hiung Chien Yih pada Majlis Penutupan Merbau Open Karate Tournament 2026 di PermyMall, Miri pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang Persatuan Karate Goshin-Ryu Sarawak sepanjang tahun ini.
Antara kejayaan membanggakan termasuk meraih gelaran juara keseluruhan pada 6th Doushinkan Karate Interdojo Invitation Championship di Miri serta menduduki tempat ke-13 daripada 70 pasukan melibatkan 12 negara pada 25th Milo International Open Karate Championship 2026.
Lebih membanggakan, tiga atlet Sarawak Goshin-Ryu Karate turut terpilih mewakili kontinjen Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026 dan berjaya menyumbangkan pingat perak serta gangsa.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada atlet, jurulatih, pihak pengurusan persatuan dan ibu bapa atas komitmen serta sokongan berterusan dalam pembangunan sukan karate.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Jumari Hashim, Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri, Mohamad Effendi Panglima, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Permaisuri Miri merangkap Presiden Kelab Karate Goshin-Ryu Miri, Mary Wahab, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Merbau Miri, Chong Lee Ngo, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Merbau Miri, Jessica Mahali serta Pengerusi Pengelola Merbau Open Karate Tournament 2026 merangkap Presiden Kelab Karate Goshin-Ryu Merbau, Abg Marzuki Abg Narudin.-EDISI UKAS