Pusa Fun Walk 2026 Perkukuh Perpaduan, Galak Gaya Hidup Sihat
PUSA: Program Pusa Fun Walk 2026 yang berlangsung di Dataran Tandang Sari, Pusa pada Ahad menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Program anjuran Pejabat Daerah Pusa bersempena Regatta Pusa 2026 itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 250 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Aktiviti berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer itu bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah menyediakan ruang untuk komuniti berinteraksi serta mengukuhkan semangat kebersamaan.
Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang, berkata penganjuran program riadah secara bersama mampu mewujudkan masyarakat yang lebih aktif dan sihat, selain memperkukuh hubungan sesama komuniti.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, tetapi turut menjadi platform untuk masyarakat berinteraksi, mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat perpaduan.
“Justeru, aktiviti riadah seperti ini wajar diteruskan bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sihat serta membina komuniti yang lebih aktif dan bersatu padu,” katanya.
Selain aktiviti berjalan kaki, program turut diserikan dengan sesi Zumba dan cabutan bertuah yang menambah kemeriahan serta menarik penyertaan masyarakat setempat.
Penganjuran Pusa Fun Walk 2026 turut menyokong usaha membentuk komuniti yang sihat, aktif dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Turut hadir Pemanca Daerah Pusa, Rosli Uji, Pengerusi SUPP Daerah Pusa, Dato Lim Kian Choon, Penghulu Zon Pusa, Bujang Beni dan Ketua Pemuda PBB Beting Maro, Awang Nashfarini Awang Sarbini.-EDISI UKAS