40 Peserta Sertai Program Kem Jati Diri 2026 Di Asajaya
ASAJAYA: Seramai 40 peserta menyertai Program Kem Jati Diri 2026 yang berlangsung selama dua hari di Masjid Darul Jannah, Kampung Tambirat Lot, di sini, pada Ahad
Program anjuran Pengurusan Masjid Darul Jannah dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak serta pihak berkaitan itu bertujuan membentuk generasi muda yang mempunyai jati diri kukuh, berakhlak mulia, berkeyakinan dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Antara pengisian utama program ialah sesi taaruf, mengenali dan menyayangi diri sendiri, pembinaan harga diri, peningkatan kemahiran komunikasi, hubungan interpersonal serta aktiviti kerja berpasukan.
Pengisian kerohanian menerusi solat berjemaah dan tazkirah turut diterapkan bagi memperkukuh penghayatan nilai Islam, membentuk keperibadian positif serta meningkatkan kesedaran peserta terhadap tanggungjawab mereka sebagai individu, ahli keluarga dan anggota masyarakat.
Menerusi pelbagai aktiviti tersebut, peserta didedahkan kepada kepentingan disiplin, pengurusan diri, komunikasi berkesan, sikap saling menghormati dan kerjasama dalam kumpulan.
Program berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan sosial antara peserta daripada sekolah berbeza, selain memperkukuh kerjasama antara institusi masjid, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat dalam pembangunan sahsiah generasi muda.
Penganjuran program seumpama itu diharap dapat melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab, berintegriti, berakhlak mulia dan mempunyai daya kepimpinan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang harmoni di Daerah Asajaya.
Majlis penangguhan dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tambirat, Nasrul Jolhan. -EDISI UKAS