608 Peserta Meriahkan Sarawak AeroBig Day 2026 Di Sibu
SIBU: Seramai 608 peserta menyertai Sarawak AeroBig Day 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini pada Ahad, sekali gus menjadikan Sibu lokasi ketiga siri jelajah program berkenaan tahun ini.
Kapitan Lau Sei Kwong yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, penganjuran tersebut menggabungkan aspek kecergasan, kesejahteraan komuniti dan kebajikan bagi memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat.
“Sarawak AeroBig Day membawa makna yang lebih besar daripada sekadar acara kecergasan kerana ia menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat sambil memberi kembali kepada golongan yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Menurut beliau, usaha Persatuan Kebajikan Bantuan Komuniti Terpinggir Sarawak (Bantu Sarawak) menerusi Project Noah’s Ark Sibu turut memberi manfaat kepada golongan terpinggir, termasuk kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Destiny For Children (DFC) Sibu.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penyediaan 10 komputer bagi pembangunan Makmal Komputer DFC menerusi dana edisi 2024, selain sumbangan pakaian terpakai, makanan dan barangan keperluan harian kepada Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu.
Beliau turut memuji kesinambungan inisiatif ‘Sponsor A Kid: Pay It Forward’ yang membolehkan 33 kanak-kanak DFC menyertai Sarawak AeroBig Day 2026 dengan pakej penyertaan dan baju-T rasmi.
Katanya, penajaan pengangkutan oleh Sungei Merah bagi membawa kanak-kanak berkenaan ke lokasi program turut mencerminkan peranan sokongan komuniti dalam membantu golongan memerlukan.
Sibu merekodkan 608 peserta selepas Miri dengan 1,460 peserta dan Bintulu seramai 718 peserta, manakala siri jelajah Sarawak AeroBig Day 2026 akan diteruskan ke Sri Aman dan Kuching.
Hadir sama Pengasas Bantu Sarawak merangkap Pengerusi Penganjur Sarawak AeroBig Day 2026 Jeffery Ngui Voon Chiang, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu Olivia Kaminis, Kaunselor Majlis Perbandaran Sibu Michelle Law Wan Ling serta Presiden Wilayah Sarawak dan Pengerusi Cawangan Sibu Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Lucas Lau Sieu Sing.- EDISI UKAS