KAPIT: Sebanyak RM217,600 disalurkan kepada 26 penerima di Bahagian Kapit bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan, pendidikan, sukan dan kebajikan.
Peruntukan tersebut disampaikan Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu majlis penyerahan cek di sebuah hotel, di sini, pada Ahad.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM70,000 disalurkan kepada 12 penerima yang masing-masing menerima RM5,000 bagi menyokong pelaksanaan Program 100 Tahun Perdamaian, manakala Yayasan Tun Jugah menerima RM10,000.
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ng Semulong Amang pula menerima RM20,000 bagi pembinaan tandas awam, manakala JKKK Tembawai Sandong Atas Sut menerima RM3,000 untuk pembelian komputer riba dan mesin pencetak bagi kegunaan pengurusan.
Peruntukan turut disalurkan kepada pelbagai organisasi termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katibas, Gerempong Bala Indu Gereja Methodist Bukit Goram, Pertubuhan Membina Akhlak Che Quan Khor dan Koperasi SMK Kapit No. 2 Berhad bagi menyokong aktiviti masing-masing.
Dalam pada itu, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menekankan kepentingan akauntabiliti dalam pengurusan peruntukan dengan memastikan setiap sumbangan direkodkan secara teratur dan digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan.
Beliau berkata, pengurusan yang telus dan bertanggungjawab penting bagi memastikan setiap peruntukan memberi manfaat kepada komuniti serta membantu penerima melaksanakan program yang dirancang dengan berkesan.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Kapit Robert Liman Deli, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Alvin Runggah Jimbun serta Pengarah Wilayah URDA Sagu Unting.- EDISI UKAS