Layar Cycling Carnival 2027 Tawar Hadiah Dua Kali Ganda
BETONG: Hadiah pertandingan Layar Cycling Carnival akan digandakan pada edisi 2027 bagi menarik lebih ramai penyertaan, sekali gus memperkukuh usaha mencungkil bakat baharu dan melahirkan atlet berbasikal dari Betong yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, langkah berkenaan dijangka meningkatkan mutu persaingan selain menjadikan karnival itu sebagai platform pembangunan sukan berbasikal di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Layar Cycling Carnival Edisi Ke-8 2026 di Pentas Utama, Arena Futsal RTC Layar, di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, penganjuran karnival itu terus memberi manfaat kepada masyarakat menerusi penggalakan gaya hidup aktif, selain mengeratkan silaturahim, memupuk perpaduan dan merancakkan ekonomi tempatan melalui kehadiran peserta serta pengunjung dari luar kawasan.
Katanya, kejayaan edisi kali ini turut didukung kerjasama pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pengelola, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, SABERKAS Cawangan Layar, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi kerajaan, ketua masyarakat, atlet dan penduduk setempat.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur di Betong termasuk jaringan jalan raya berturap, Jambatan Batang Lupar 1 dan 2, Jambatan Paku di Spaoh serta Jambatan Batang Layar yang baharu membuka potensi lebih besar untuk penganjuran acara berbasikal dan sukan lain pada masa hadapan.
Kemudahan berkenaan, katanya, turut berpotensi menyediakan laluan lebih sesuai bagi penganjuran acara seperti maraton apabila projek menaik taraf jalan raya dan pembinaan jambatan yang sedang dilaksanakan siap kelak.
Dalam pada itu, beliau melihat penglibatan rumah panjang berhampiran sebagai peluang untuk memperkembangkan sektor pelancongan dengan membolehkan pengunjung mengenali budaya serta pengalaman kehidupan masyarakat rumah panjang, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk Betong, Spaoh dan Debak.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang Criterium dan Road Race serta menyifatkan kelancaran edisi kelapan, termasuk tanpa sebarang insiden meskipun berdepan keadaan cuaca, sebagai kejayaan bersama.
Untuk rekod, edisi 2026 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,860 bagi Criterium dan RM41,350 bagi Road Race, menjadikan keseluruhan hadiah yang dipertandingkan sebanyak RM52,210.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Datuk Gerald bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu.
Turut hadir Jurutera Bahagian JKR Betong Jason Ng Boon Tuan, Pegawai Pertanian Bahagian Betong Leo Toni serta Setiausaha Eksekutif SABERKAS Sarawak Izwan Haironi.- EDISI UKAS