BETONG: Seramai 165 pelumba dari lapan negara menguji ketahanan fizikal dan mental dalam perlumbaan Road Race sejauh 122 kilometer sempena hari terakhir Layar Cycling Carnival Edisi Ke-8 2026 di RTC Layar, Betong, pada Ahad.
Pelepasan rasmi perlumbaan disempurnakan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, yang menasihati pelumba supaya mengutamakan keselamatan, mengekalkan semangat juang serta menikmati pengalaman sepanjang perlumbaan.
Perlumbaan bermula di RTC Layar sebelum melalui Lebuh Raya Pan Borneo dari simpang utama Betong hingga P-turn di Debak, diikuti laluan Jalan Ulu Paku dan Jalan Ulu Layar yang berbukit serta mencabar sebelum kembali ke garisan penamat di RTC Layar.
Dalam keputusan perlumbaan, Zulfamie Aiman daripada TSG Cycling Academy muncul juara Men Open (19 hingga 29 tahun), manakala Laurel Lauridsen Adrian daripada Ghost Speed Racing Team menjuarai Master A (30 hingga 39 tahun) dan Sarawak Closed (16 tahun ke atas).
Mohd Nor Umardi daripada Tugau Vaie menjuarai Master B (40 hingga 49 tahun), manakala Nurfara Ain Nabiela daripada pasukan sama mengungguli Women Open (16 tahun ke atas).
Muhammad Danish Iman daripada TSG Cycling Academy muncul juara Junior (16 hingga 18 tahun), manakala Dr. Norhasmat Abdul Aziz daripada Xeno Racing Team menjuarai Super Master (50 tahun ke atas).
Kategori Betong Closed (16 tahun ke atas) pula dimenangi Mohd Arif Raarfiif daripada Solidarity Cycling Club, manakala Giant Racing Team dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik.
Secara keseluruhan, perlumbaan berkenaan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM41,350 kepada para pemenang.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Datuk Gerald bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu di Pentas Utama, Arena Futsal RTC Betong.- EDISI UKAS