Pindaan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak Beri Mandat Perundangan Jelas
KUCHING: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 memberikan mandat perundangan yang jelas kepada Pustaka Negeri Sarawak untuk mengumpul, menyimpan, memelihara dan mempamerkan bahan bersejarah berkaitan tokoh serta peristiwa penting di negeri ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pengenalan definisi dan fungsi arkib memorial menerusi pindaan itu berpotensi memperkukuh usaha pemeliharaan sejarah dan warisan Sarawak.
"Inisiatif ini bukan sahaja dapat memperkukuh pemahaman generasi muda terhadap sejarah dan warisan Sarawak, malah turut memupuk semangat patriotisme serta jati diri dalam kalangan anak Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Sehubungan itu, Dato Sri Huang menggalakkan perhatian diberikan kepada penyediaan infrastruktur bersesuaian, penerapan teknologi digital serta penglibatan kurator dan ahli arkib berkemahiran bagi memastikan bahan sejarah dapat dipersembahkan secara lebih interaktif, menarik dan mudah difahami.
Jelasnya, pelaburan dalam pembangunan dan pengurusan maklumat serta warisan negeri menerusi rang undang-undang itu merupakan pelaburan strategik demi kepentingan rakyat Sarawak.
Beliau yakin kerajaan akan memberikan perhatian sewajarnya terhadap keperluan kewangan bagi pembangunan arkib memorial baharu serta pelarasan tadbir urus yang diperlukan bagi memastikan pindaan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberikan manfaat berpanjangan kepada rakyat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini