Pendigitalan Arkib Sejarah Sarawak Perlu Diperluas Untuk Akses Rakyat
KUCHING: Pendigitalan bahan sejarah Sarawak perlu diberi penekanan dalam pelaksanaan pindaan ordinan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak bagi membolehkan khazanah warisan negeri dipelihara dengan lebih selamat dan diakses secara lebih meluas oleh masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, bahan sejarah tidak seharusnya hanya tersimpan di bilik arkib atau rak perpustakaan, sebaliknya perlu dibangunkan sebagai sumber ilmu digital yang mudah dicapai, khususnya oleh generasi muda.
“Ia wajar dikembangkan sebagai sumber ilmu yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, khususnya generasi muda, di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan RUU berkenaan semasa Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Selasa.
Menurut Royston, bahan seperti dokumen lama, gambar, surat-menyurat, manuskrip serta rakaman audio dan video perlu dikumpulkan dan dipelihara secara sistematik bagi mengelakkan kehilangan rekod penting yang membentuk sejarah Sarawak.
“Tellian menyambut baik langkah ini, sejarah Sarawak bukan hanya terkandung dalam buku teks atau kisah tokoh dan peristiwa besar.
“Walaupun pada dasarkan dalam buku teks silibus pendidikan Malaysia pun tidak banyak Sejarah Sarawak diceritakan,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan pendigitalan perlu disokong oleh dasar yang jelas, khususnya berkaitan pemilihan bahan, pemeliharaan dan akses awam.
Katanya, kerjasama dengan komuniti, institusi pendidikan, badan kebudayaan dan penyelidik juga penting bagi memastikan bahan yang dikumpulkan tepat, mencerminkan kepelbagaian sejarah Sarawak serta diuruskan secara bertanggungjawab. -EDISI UKAS