Dato Dennis Mohon Kerajaan Sarawak Ambil Alih Pengurusan Perpustakaan Long Latei
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato’ Dennis Ngau merayu Kerajaan Sarawak mengambil alih pengurusan dan menyediakan pembiayaan operasi berterusan bagi Perpustakaan Komuniti Penan di Long Latei, bagi memastikan kemudahan pendidikan itu terus memberi manfaat kepada masyarakat pedalaman.
Beliau berkata, tanggungjawab operasi perpustakaan berkenaan, khususnya pembayaran saguhati sukarelawan yang menguruskan kemudahan itu, selama ini sebahagian besarnya ditanggung melalui usahanya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.
“Daripada membiarkan inisiatif ini menghadapi kesukaran akibat kekangan kewangan, kita perlu membina atas apa yang telah dicapai dan memastikan perpustakaan ini dapat terus berkhidmat kepada masyarakat untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak sempena Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau meminta kementerian berkaitan dan Perpustakaan Negeri Sarawak mempertimbangkan pengambilalihan pengurusan perpustakaan berkenaan, termasuk menyediakan peruntukan bagi gaji petugas, penyelenggaraan, bahan bacaan serta perbelanjaan operasi lain.
Tambah beliau lagi, perpustakaan komuniti itu ditubuhkan melalui kerjasama antara pengurusan Perpustakaan Negeri Sarawak, pusat khidmat ADUN Telang Usan, ketua kampung dan masyarakat Long Latei sebelum dirasmikan pada 24 Oktober 2020.
Beliau berkata, kemudahan itu diwujudkan bagi mendekatkan bahan bacaan dan sumber pembelajaran kepada kanak-kanak Penan serta penduduk kampung sekitar yang tinggal jauh dari pusat bandar dan kemudahan pendidikan utama.
Perpustakaan berkenaan terletak di kawasan pedalaman yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan melalui jalan pembalakan dari Long Lama.
Dato Dennis berkata, pengambilalihan itu tidak memerlukan kerajaan negeri membina kemudahan baharu dari awal kerana perpustakaan berkenaan sudah tersedia dan dimanfaatkan masyarakat setempat.
“Apa yang diperlukan sekarang ialah mekanisme pengurusan dan pembiayaan yang mampan bagi memastikan kesinambungannya,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar penilaian dibuat terhadap kemudahan sedia ada, keperluan tenaga kerja dan kos operasi sebelum mekanisme pengurusan yang sesuai ditentukan, sama ada melalui pengurusan langsung Perpustakaan Negeri Sarawak atau kerjasama rasmi dengan komuniti setempat.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan permintaan itu supaya perpustakaan komuniti Long Latei terus menyediakan akses kepada ilmu dan sumber pendidikan, khususnya untuk kanak-kanak Penan serta penduduk kampung sekitar. -EDISI UKAS