Arkib Memorial Berpotensi Perluas Penyelidikan Sejarah Sarawak
KUCHING: Penubuhan dan pengurusan arkib memorial di bawah Perpustakaan Negeri Sarawak berpotensi memperluas penyelidikan sejarah tempatan dengan menyediakan sumber rujukan yang lebih tersusun kepada pelajar, guru, ahli akademik dan masyarakat umum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, pengumpulan serta pemeliharaan dokumen lama, manuskrip, gambar, surat-menyurat dan rakaman sejarah secara sistematik dapat membantu memperkaya pemahaman mengenai perkembangan Sarawak yang mungkin belum didokumentasikan dengan secukupnya.
“Nilai arkib memorial akan lebih terserlah apabila bahan yang dikumpulkan bukan sahaja dipelihara, tetapi turut dimanfaatkan oleh masyarakat sebaiknya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan RUU berkenaan semasa Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Selasa.
Tambahnya lagi, sejarah negeri ini tidak seharusnya terbatas kepada peristiwa besar dan tokoh terkenal, sebaliknya perlu merangkumi sejarah kampung, bandar, daerah, institusi, komuniti serta tokoh tempatan di seluruh Sarawak.
Beliau berkata, dokumentasi yang menyeluruh juga wajar meliputi aspek demografi, ekonomi, kehidupan sosial, budaya, pendidikan, infrastruktur dan perkembangan komuniti supaya perubahan masyarakat dari satu generasi ke generasi seterusnya dapat direkodkan sebagai khazanah sejarah negeri.
Katanya, usaha itu penting memandangkan sebahagian sejarah Sarawak turut tersimpan dalam rekod pentadbiran, bahan persendirian, adat resam dan cerita masyarakat tempatan yang memerlukan usaha pengumpulan serta dokumentasi lebih teratur. -EDISI UKAS