RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 Perkukuh Tadbir Urus Perpustakaan
KUCHING: Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 bertujuan memperkukuh dan memodenkan tadbir urus, fungsi serta pentadbiran Perpustakaan Negeri Sarawak agar selaras dengan perkembangan dan tanggungjawab institusi itu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata pindaan terhadap Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak 1999 itu turut menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas bagi memastikan pengurusan perpustakaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“RUU ini bukan sekadar bertujuan mengemas kini peruntukan ordinan sedia ada, tetapi juga menyediakan kerangka tadbir urus yang lebih jelas serta asas perundangan yang diperlukan bagi membolehkan Perpustakaan Negeri Sarawak melaksanakan tanggungjawabnya yang semakin berkembang dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dato Sri Roland Sagah berkata, antara perubahan utama yang dicadangkan ialah memperjelas peranan dan kuasa Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpustakaan, termasuk kuasa memberikan arahan kepada Lembaga berkaitan pelaksanaan fungsi dan tanggungjawabnya.
Menurutnya, pindaan itu turut memperuntukkan kuasa kepada Perpustakaan Negeri Sarawak untuk menubuhkan, mengurus dan menyelenggara arkib peringatan bagi memelihara bahan sejarah berkaitan tokoh, peristiwa serta warisan negeri untuk manfaat generasi akan datang.
Selain itu, Dato Sri Roland RUU berkenaan bertujuan memperkemas struktur tadbir urus melalui pembahagian tanggungjawab yang lebih jelas antara Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Menteri dan Lembaga, termasuk urusan pelantikan ahli Lembaga serta pengurusan harta kerajaan yang digunakan oleh perpustakaan.
Pindaan itu ujarnya, memperkenalkan mekanisme yang lebih praktikal bagi membolehkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meminda Jadual kepada ordinan melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan tanpa perlu meminda ordinan utama setiap kali perubahan diperlukan.
Menurut beliau, pindaan berkenaan penting bagi memastikan Perpustakaan Negeri Sarawak terus berupaya memelihara rekod, ilmu pengetahuan serta sejarah dan memori kolektif Sarawak untuk generasi akan datang.-EDISI UKAS