KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM200 juta bagi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) pada tahun 2027.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif itu bakal memanfaatkan sehingga 10,600 pelajar untuk sesi tahun hadapan.
"Bagi 2027, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif ini, yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga 10,600 pelajar," katanya ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Menurutnya, FTES merupakan inisiatif transformatif bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi berasaskan merit dan keupayaan pelajar, tanpa dibatasi latar belakang kewangan keluarga.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM1 juta pada 2027 bagi meneruskan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di seluruh sekolah di negeri ini.
Selain itu katanya, sebanyak RM6 juta lagi diperuntukkan bagi meneruskan pelaksanaan Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak (UP-DLPS) untuk murid Tahun 6, meliputi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Menurutnya, penilaian di seluruh Sarawak itu menyediakan penanda aras piawai untuk mengukur tahap penguasaan dan pemahaman murid, khususnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini