Generasi Muda Digalak Aktif Dalam Pembangunan Komuniti Bukit Begunan
SRI AMAN: Penglibatan generasi muda dalam aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan setempat perlu terus diperkasakan bagi melahirkan barisan pelapis kepimpinan yang dinamik, progresif serta berpandangan jauh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, golongan muda mempunyai peranan penting dalam membawa idea baharu, memperkukuh perpaduan serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat.
Menurut beliau, pendekatan komunikasi yang lebih moden dan strategik, khususnya melalui penggunaan media sosial, perlu dimanfaatkan bagi mendekati generasi muda serta meningkatkan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
"Justeru, bagi menarik minat golongan muda untuk menyertai kita maka semua ahli parti haruslah mengamalkan pendekatan kempen yang lebih moden serta strategik dan menjadikan media sosial sebagai medium komunikasi utama bagi mendekati penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian N31 Bukit Begunan di Dewan Serbaguna Kampung Gua, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Mong turut menekankan kepentingan keterbukaan menerima pandangan dan kritikan secara matang, berhemah serta profesional dalam memperkukuh keberkesanan sesebuah organisasi.
Katanya, perbezaan pandangan harus dilihat sebagai peluang untuk mengenal pasti kelemahan, menambah baik pendekatan kerja serta memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha mendekati penduduk perlu dipertingkatkan melalui komunikasi dua hala yang berkesan bagi memastikan setiap pandangan dan keperluan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya.-Edisi UKAS