Belanjawan Sarawak 2027 Utamakan Kebajikan Rakyat, Jamin Kelestarian Masa Depan
KUCHING: Peningkatan hasil negeri menerusi pengurusan ekonomi yang berdisiplin membolehkan Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kebajikan rakyat, di samping memastikan pembangunan mampan demi kesejahteraan generasi akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, Belanjawan Sarawak 2027 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan hasil negeri dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan masyarakat merentasi semua lapisan usia.
Menurut beliau, pertambahan hasil negeri membuka ruang kepada kerajaan untuk memperluas pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan, khususnya bagi golongan muda, warga emas serta generasi masa depan.
“Apabila pendapatan kita bertambah, Premier akan cuba menyalurkan sebanyak mungkin hasil tersebut untuk kebajikan masyarakat Sarawak, terutama sekali dari segi kelestarian masa depan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, pada Isnin.
Datuk Abdullah turut menekankan bahawa kestabilan politik dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama menjadi antara faktor penting yang membolehkan tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan mutu perkhidmatan awam.
Katanya, pengurusan kewangan yang berhemah dan bertanggungjawab perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap peningkatan hasil negeri dapat diterjemahkan kepada manfaat yang menyeluruh dan berpanjangan kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak mempunyai potensi besar untuk meneroka sumber pendapatan baharu melalui pemanfaatan sumber semula jadi secara mampan, termasuk pembangunan ekonomi digital, pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber air.
Jelasnya, pendekatan itu penting bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri, sekali gus memastikan sumber yang dimiliki hari ini terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 berjumlah RM14.845 bilion dengan penekanan terhadap pembangunan negeri, khususnya kawasan luar bandar.
Belanjawan bertemakan ‘Bersama Membina Kemakmuran dan Menjamin Masa Depan Kita’ itu merangkumi RM5.747 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM9.098 bilion diperuntukkan kepada Akaun Kumpulan Wang Pembangunan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Jalil
Foto: Ibanez Jeffery Guang