Belanjawan Sarawak 2027 Perkasa Pendidikan, Buka Peluang Masa Depan Belia
KUCHING: Belanjawan Sarawak 2027 memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi pelbagai inisiatif pendidikan dan sokongan kepada golongan belia, bermula dari peringkat awal persekolahan hingga memasuki alam pekerjaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pendekatan menyeluruh itu mencerminkan usaha memastikan generasi muda Sarawak mendapat akses pendidikan serta peluang membina masa depan yang lebih baik.
Menurut beliau, antara perkara yang menarik perhatian ialah pelbagai bentuk bantuan pendidikan termasuk pendidikan percuma, pembelian peranti pembelajaran dan perbelanjaan tuisyen bagi meringankan beban keluarga serta meningkatkan akses pendidikan golongan muda.
“Belanjawan kali ini bukan sahaja memberi penekanan kepada pendidikan percuma, malah turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk pembelian peranti pembelajaran, perbelanjaan tuisyen dan sokongan pendidikan lain bagi memenuhi keperluan generasi muda Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 di sini, pada Isnin.
Datuk Abdullah menjelaskan, tumpuan terhadap pendidikan awal kanak-kanak turut menjadi sebahagian daripada pendekatan jangka panjang bagi membangunkan potensi generasi muda sejak peringkat awal.
Katanya, perhatian juga diberikan kepada aspek kebolehpasaran graduan dan peluang pekerjaan bagi memastikan golongan belia mempunyai ruang untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak selepas menamatkan pengajian.
“Keseluruhan saya rasa sangat inklusif dan sangat menyeluruh pembelanjaan kali ini untuk warga muda dan masa depan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap golongan muda Sarawak memanfaatkan sepenuhnya pelbagai kemudahan dan peluang yang disediakan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta daya saing.
Beliau turut menyifatkan Belanjawan Sarawak 2027 sebagai pendekatan pembangunan yang mengambil kira keperluan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya dalam mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran masa depan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Marisa
Foto: Ibanez Jeffery Guang