KUCHING: Pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) menjadi tumpuan kerajaan negeri mulai 2026 dalam usaha membentuk masa depan tenaga yang lebih mampan, mampu milik dan rendah karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta pada 2027 bagi membiayai inisiatif bersasar di bawah pelan berkenaan.
“Melalui SET-P, kita merangka laluan yang terancang ke arah masa depan tenaga yang saksama, boleh dipercayai dan rendah karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Menjelas lanjut, Premier Sarawak berkata, peruntukan itu merangkumi Geran Padanan Peralihan Tenaga bagi pembangunan projek dan pelaksanaan projek rintis, serta Geran Kecekapan Tenaga untuk menggalakkan audit tenaga dan penjimatan penggunaan tenaga di bangunan serta sektor industri.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menubuhkan Sarawak Blended Finance Network bagi menggerakkan modal dan memastikan pembiayaan disalurkan kepada projek yang menyokong kelestarian.
Katanya, SET-P yang diperkenalkan pada Ogos 2025 itu menyasarkan sumbangan RM550 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak, pewujudan lebih 80,000 peluang pekerjaan dan penarikan pelaburan sehingga RM700 bilion menjelang 2050.-EDISI UKAS