Opar Perkasa Pembangunan Bola Tampar, Cungkil Bakat Muda
LUNDU: Usaha membentuk pasukan bola tampar pilihan yang menghimpunkan pemain berbakat dari kawasan Opar dan sekitar Daerah Lundu bakal dipergiat bagi meningkatkan daya saing atlet tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, Karnival Sukan KSK Opar 2026 menjadi platform penting untuk mengenal pasti pemain berpotensi yang boleh diketengahkan dalam pembentukan pasukan berkenaan.
Menurut beliau, penyertaan 10 pasukan dalam kejohanan itu memperlihatkan potensi pemain tempatan yang boleh dibangunkan menerusi latihan lebih tersusun dan peluang menyertai pertandingan yang kompetitif.
Katanya, usaha tersebut juga boleh diperluas dengan melibatkan pemain berbakat dari kawasan N3 Tanjong Datu bagi membentuk pasukan yang lebih mantap untuk menghadapi kejohanan akan datang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Sukan KSK Opar 2026 di sini pada Ahad.
Billy berkata, pembangunan pemain muda, khususnya dalam kategori bawah 16 tahun, perlu diberikan perhatian bagi memastikan bakat baharu terus dicungkil dan kesinambungan kecemerlangan sukan bola tampar dapat diperkukuh.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyuarakan hasrat untuk memperkenalkan sukan bola tampar pantai atau beach volleyball sebagai satu lagi cabang sukan yang berpotensi dikembangkan di kawasan Opar.
Menurutnya, penyediaan kemudahan bersesuaian, termasuk penambahbaikan gelanggang sedia ada serta pengenalpastian lokasi berpotensi, perlu diteliti bagi menyokong pelaksanaan latihan dan pertandingan secara lebih terancang.
Dalam kejohanan tersebut, KSL A muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,800, manakala Wild Spiker’z VT menduduki tempat kedua dengan hadiah RM1,440.
The Slayer A menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM1,080, sementara KSL B berada di tempat keempat dengan hadiah RM720.
Kesemua empat pasukan terbaik menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,040.-EDISI UKAS