Lapan Pasukan Berebut Gelaran Juara Piala Singai 2026
BAU: Kejohanan Bola Sepak Piala Singai 2026 edisi kelapan menghimpunkan lapan pasukan bagi merebut gelaran juara dalam kejohanan anjuran Kelab Penggemar Aktiviti Sukan Singai Bau (KEPSUS).
Majlis perasmian kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, di sini pada Ahad.
Lapan pasukan yang mengambil bahagian ialah SGN UTD selaku juara bertahan, SEDA UTD, BISOMU FC, TANJUNG POTING FC, BPFT, REAL BOBAK FC, BIMADIS FT dan SAGAH BLAZE WARRIORS FC.
Kejohanan menggunakan format liga kumpulan bagi memberi peluang kepada setiap pasukan menguji keupayaan masing-masing dalam usaha memburu gelaran juara.
Minggu final kejohanan dijadualkan berlangsung pada 14 November 2026.
Bagi menghargai pencapaian pasukan bertanding, penganjur menyediakan hadiah wang tunai RM1,500 berserta medal dan trofi kepada juara, RM1,000 kepada naib juara, RM700 kepada tempat ketiga dan RM500 kepada tempat keempat.
Selain hadiah berpasukan, kejohanan itu turut menawarkan anugerah khas Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Kejohanan sebagai pengiktirafan terhadap prestasi serta sumbangan pemain sepanjang pertandingan.-EDISI UKAS