Sarawak Sedia Peruntukan Awal RM120 Juta Bagi Penganjuran Sukan SEA 2027
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan awal sebanyak RM120 juta bagi penganjuran Sukan Asia Tenggara (SEA) Ke-34 pada 2027 dengan Kuching menjadi hab utama bagi temasya sukan serantau itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebanyak RM144 juta diperuntukkan pada 2027 bagi menaik taraf kemudahan sukan utama sebagai persediaan menjelang penganjuran temasya itu pada tahun depan.
"Bagi 2027, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan awal sebanyak RM120 juta untuk penganjuran temasya itu dan RM144 juta bagi menaik taraf 11 kemudahan sukan utama, yang dijadualkan siap untuk digunakan bagi pertandingan menjelang pertengahan 2027," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Antara kemudahan sukan utama yang disenaraikan ialah Stadium Sarawak, Stadium Tertutup Sarawak, Arena Boling Padang, Pusat Latihan Wushu, Pusat Lawn Tenis Sarawak, Lapang Sasar Menembak Sarawak, Pusat Skuasy Sarawak, Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Pusat Memanah Sarawak dan Pusat Petanque Sarawak.
Premier Sarawak berkata, peningkatan infrastruktur sukan itu akan memperkukuh keupayaan Sarawak untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa pada masa hadapan, termasuk Sukan Perpaduan Islam pada 2029.
Tambahnya, belanjawan ini turut memperuntukkan RM5 juta bagi penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) 2027, platform persiapan menghadapi Kejohanan SUKMA 2028.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, RM21 juta disediakan untuk menyokong kemudahan sukan dan rekreasi di seluruh bahagian bagi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak menyertai aktiviti sukan, mengembangkan bakat serta mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini