RM2.27 Bilion Diperuntukkan Untuk Empat Projek Jalan Utama Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.27 bilion pada 2027 bagi meneruskan pelaksanaan empat projek utama rangkaian jalan raya negeri, merangkumi Jalan Pesisir Sarawak, Jalan Utama Kedua Sarawak, Lebuh Raya Pesisir Utara serta Jalan Sultan Tengah dan Jambatan Baharu Santubong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peruntukan menerusi kaedah pembiayaan alternatif itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh jaringan pengangkutan serta meningkatkan hubungan antara kawasan di seluruh Sarawak.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM900 juta diperuntukkan bagi Jalan Utama Kedua Sarawak, diikuti RM700 juta untuk Lebuh Raya Pesisir Utara, RM366 juta bagi Jalan Pesisir Sarawak serta RM252 juta untuk Jalan Sultan Tengah dan Jambatan Baharu Santubong.
“Sebanyak RM2.27 bilion diperuntukkan pada tahun depan di bawah kaedah pembiayaan alternatif bagi membiayai rangkaian utama pengangkutan negeri yang sedang dilaksanakan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 bagi Bacaan Kali Kedua semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Selain empat projek utama itu, beliau memberitahu bahwa kerajaan turut menyediakan RM742 juta bagi pembinaan jalan raya dan jambatan di seluruh negeri pada 2027.
Antara projek yang disenaraikan ialah pembinaan jalan berkembar dari Jambatan Kemena ke Lapangan Terbang Bintulu, sambungan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di Kuching serta pembinaan jalan di Kampung Medong Seberang dan Kampung Kekan Seberang di Dalat, Mukah.
Peruntukan itu turut meliputi pembinaan jalan baharu dari Teku Pasai Siong ke Kemuyang di Sibu, kerja menurap Jalan Ulu Tinjar di Marudi, Miri, Program Transformasi Jambatan Luar Bandar serta kerja kecemasan bagi membaik pulih infrastruktur awam yang rosak. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Hazrin Sunaini & Muhammad Rais Sanusi