Sarawak Peruntuk RM14.845 Bilion Dalam Belanjawan 2027
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM14.845 bilion menerusi Belanjawan Sarawak 2027 yang memberi penekanan kepada pembangunan negeri, khususnya kawasan luar bandar demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, belanjawan bertemakan ‘Bersama Membina Kemakmuran dan Menjamin Masa Depan Kita’ itu merangkumi RM5.747 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM9.098 bilion diperuntukkan kepada Akaun Kumpulan Wang Pembangunan.
Menurut beliau, peruntukan dalam belanjawan berkenaan bertujuan memperkukuh kedudukan kewangan bagi memastikan dana mencukupi untuk membiayai pelaksanaan projek pembangunan negeri pada 2027.
“Belanjawan 2027 kekal berorientasikan pembangunan dan luar bandar, dengan RM9.098 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan, pembangunan luar bandar terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Lebih penting, daripada jumlah itu, RM6.4 bilion diperuntukkan bagi inisiatif pembangunan luar bandar,” ujar beliau lagi.
Tambah beliau, antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah, Program Projek Khas serta Projek Rakyat.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Hazrin Sunaini & Muhammad Rais Sanusi