Teknologi Bantu SALCRA Perkasa Penanaman Semula Sawit
KUCHING: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) dilihat mampu membantu Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) menentukan keperluan penanaman semula pokok kelapa sawit bagi memastikan produktiviti ladang terus berada pada tahap optimum.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata teknologi masa kini membolehkan keadaan dan potensi tanaman dianalisis sebelum keputusan penanaman semula dibuat.
Menurut beliau, pokok kelapa sawit yang telah berusia dan tidak lagi memberikan hasil optimum perlu digantikan dengan anak benih baharu yang berkualiti.
“Kalau pokok itu sudah lama, apa yang kita buat? Replant. Dan replant mesti menggunakan anak benih baharu.
“Ini boleh kita cuba menggunakan teknologi ML dan AI,” katanya ketika berucap pada Majlis Golden Jubilee Gala Dinner sempena sambutan ulang tahun ke-50 SALCRA di Imperial Hotel, Kuching pada Isnin.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata teknologi berkenaan juga berpotensi membantu membuat simulasi dan ramalan berkaitan jenis anak benih yang sesuai berdasarkan keadaan tanaman dan tanah.
Jelasnya, pendekatan tersebut membolehkan proses penanaman semula dilakukan secara lebih terancang, sekali gus membantu meningkatkan hasil dan nilai ekonomi ladang.
“Dalam tempoh 50 tahun akan datang, sudah ada cara dan metodologi untuk kita menambah nilai pokok yang telah mengeluarkan kelapa sawit, sama ada yang lama yang harus ditanam semula dan juga tanaman kelapa sawit yang sedia ada,” katanya.
Tambah beliau, usaha memperkasa penanaman semula menggunakan pendekatan moden penting bagi memastikan aset tanah yang dimiliki peserta SALCRA terus produktif untuk generasi akan datang.
Katanya, nilai ekonomi tanah perlu dilihat bersama hasil tanaman yang diusahakan bagi memastikan aset tersebut memberikan pulangan yang lebih baik.
“Kalau kita melihat dari segi nilai ekonomi tanah ditambah dengan tanaman yang kita tanam, ia dapat memberikan masa depan yang cerah kepada mereka yang menyertai SALCRA,” ujar beliau.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS