Jualan Amal St. Francis Lundu Perkukuh Perpaduan Komuniti
LUNDU: Program Jualan Amal St. Francis Lundu menjadi platform memperkukuh perpaduan, mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja bertujuan mengumpul dana bagi menyokong aktiviti gereja, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk berinteraksi dan memupuk keharmonian komuniti.
Menurut beliau, konsep membeli sambil menderma turut menggalakkan budaya saling membantu dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
“Apabila kita hadir dalam program seperti ini, kita bukan sahaja berinteraksi dengan ahli gereja sendiri, tetapi turut berpeluang beramah mesra dengan masyarakat daripada gereja dan agama yang berbeza.
“Walaupun kita datang daripada pelbagai latar belakang dan berdepan cabaran kehidupan yang berbeza, matlamat kita tetap sama, iaitu membentuk kehidupan yang harmoni serta saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jualan Amal St. Francis Lundu di Dewan Chung Hua Lundu baru-baru ini.
Dalam pada itu, Billy turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong pelaksanaan aktiviti dan program pembangunan Gereja St. Francis Lundu.
Katanya, sumbangan sekitar RM30,000 dirancang untuk disalurkan pada tahun hadapan bagi membantu membiayai pelbagai aktiviti gereja berkenaan.
Bagaimanapun, beliau akan berusaha menyalurkan bantuan lebih awal sebelum sambutan Krismas sekiranya terdapat peruntukan tambahan pada tahun ini.
Sementara itu, Billy turut mengingatkan masyarakat supaya terus mengamalkan nilai positif, memperkukuh semangat ketabahan serta sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan dalam kehidupan.
“Segala perkara baik yang kita lakukan, sama ada dalam kehidupan, persekitaran mahupun gereja, harus diteruskan. Jika terdapat kelemahan, kita perlu memperbaikinya dari semasa ke semasa dan bukannya sekadar mengkritik,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyokong program jualan amal berkenaan kerana setiap pembelian dan sumbangan mampu membantu pihak gereja meneruskan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.
Program anjuran Parish St. Francis Lundu itu mendapat sambutan kira-kira 400 pengunjung, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan keharmonian masyarakat setempat.
Turut hadir, Reverend Father Peter Augustine.a-EDISI UKAS