RM950,000 Peruntukan UNIFOR Realisasikan Pembinaan Gereja St. Benedict
BAU: Peruntukan keseluruhan RM950,000 daripada Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjaya merealisasikan pembinaan Gereja St. Benedict di Kampung Tembawang Sauh, sekali gus menyediakan kemudahan rumah ibadat yang lebih selesa dan kondusif kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, peruntukan itu disalurkan secara berperingkat, merangkumi RM250,000 bagi fasa pertama, RM500,000 bagi fasa kedua dan RM200,000 bagi fasa ketiga.
Menurut beliau, sebanyak 10 unit penghawa dingin bernilai RM35,000 termasuk kos pemasangan turut disediakan bagi meningkatkan keselesaan umat ketika menjalankan aktiviti keagamaan.
“Rumah ibadat seperti Gereja St. Benedict ini bukan sekadar sebuah bangunan konkrit dan struktur fizikal semata-mata. Ia merupakan pusat kerohanian, tempat penyatuan dan benteng moral bagi komuniti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemberkatan dan Perasmian Gereja St. Benedict di Kampung Tembawang Sauh baru-baru ini.
Billy menambah, pembangunan rumah ibadat merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat yang bukan sahaja merangkumi penyediaan infrastruktur fizikal, malah pembangunan kerohanian, pembentukan sahsiah dan perpaduan komuniti.
Jelasnya, gereja berkenaan turut berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat serta wadah membimbing generasi muda menghayati nilai murni seperti kasih sayang, integriti, disiplin dan semangat saling membantu.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan cek peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Komiti Gereja Katolik (KGK) St. Benedict bagi menyokong aktiviti dan keperluan gereja berkenaan.
Dalam pada itu, Billy merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pembinaan gereja, kepimpinan kampung dan masyarakat setempat atas kerjasama serta semangat gotong-royong sehingga projek pembinaan tersebut berjaya disiapkan.
Katanya, kejayaan itu membuktikan kerjasama erat antara kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk mampu merealisasikan kemudahan yang memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk memastikan pembangunan di kawasan DUN Opar terus dilaksanakan secara seimbang, merangkumi kemudahan asas, pembangunan sosioekonomi, modal insan dan keperluan keagamaan.
Turut hadir, Rektor Parish St. Stephen Bau, Rev. Father Peter Liston, Ketua Kaum Kampung Tembawang Sauh, Goen Lohim, Pengerusi Gereja St. Benedict, Litercheron Kaon, Ketua Umat yang baharu, Edward Eddie Donny serta barisan kepimpinan gereja dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS