Sarawak Rancang Integrasi Semua Pelabuhan Di Bawah Satu Pihak Berkuasa
KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang menyatukan semua pihak berkuasa pelabuhan di negeri ini di bawah Sarawak Ports Authority bagi menyelaraskan operasi, mengelakkan pertindihan fungsi serta meningkatkan daya saing industri maritim susulan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, integrasi itu akan dilaksanakan menerusi beberapa pendekatan strategik, termasuk pengelompokan peranan pelabuhan berdasarkan kelebihan geografi dan kekuatan industri masing-masing, selain penyusunan semula struktur tarif bagi mewujudkan ekosistem pasaran yang lebih adil, cekap dan telus.
“Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan dan memperkukuh keyakinan para pelabur serta pemain industri maritim,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Menurut Datuk Majang, kerajaan turut memberi perhatian kepada penaiktarafan kemudahan dan infrastruktur pelabuhan bagi menyokong pelan pembangunan serta memenuhi keperluan pasaran, di samping mentransformasikan pengurusan pelabuhan kepada entiti korporat untuk meningkatkan daya saing dan kelestarian jangka panjang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu kerajaan juga akan mengoptimumkan penggunaan kemudahan sedia ada dan meningkatkan kapasiti baharu bagi memenuhi permintaan pasaran, selain memodenkan proses kerja untuk mengurangkan birokrasi serta meningkatkan kecekapan masa dan kos dalam rantaian logistik.
Usaha itu turut merangkumi sesi libat urus berkala bersama pengimport, pengeksport, syarikat perkapalan dan agensi pengangkutan bagi memastikan keperluan pemain industri terus diberi perhatian. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi & Hazrin Sunaini